PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak timbul soal dendam berhubung laporan dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Perdana Menteri berkata, beliau menasihatkan pembangkang supaya tidak memainkan isu ‘dendam’ itu.
Beliau juga menegaskan bahawa pasukan petugas khas berkenaan isu Pulau Batu Puteh telah ditubuhkan pada 2021 iaitu ketika mereka (pembangkang) berada di posisi kerajaan sebelum ini.
“Pasukan khas itu dibuat sebelum saya pun. Itu masa Ismail Sabri (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dimana menterinya termasuk Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Dia (mereka) ada buat (pasukan petugas khas) dan finding (dapatan mengenai kes Batu Puteh) lebih teruk lagi. Jadi, tak usah main,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Darul Ulum, SMKA Putrajaya, Presint 11, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE