fbpx

Grab Malaysia, GXBank kongsi ilmu kesiapsiagaan ‘start-up’ bersama Endeavor Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia dan bank digital pertama negara, GXBank menjalin kerjasama bersama Endeavor Malaysia menerusi penganjuran forum untuk melatih usahawan dan syarikat start-up tempatan. 

Menerusi kerjasama ini, individu-individu hebat dari Grab Malaysia dan GXBank termasuklah dua pengasas jenama gergasi tersebut menjalin kolaborasi dengan Endeavor Malaysia untuk membantu memberi latihan buat para usahawan terpilih tempatan yang berpotensi tinggi demi melestarikan perkembangan kerjaya mereka.

Grab sudah bersama rakyat Malaysia sejak 2012 dan kedua-dua figura dimaksudkan iaitu Pengarah Urusan Grab, Adelene Foo dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) GXBank, Fadrizul Hasani‍, sememangnya memainkan peranan yang penting dalam membantu melunaskan misi ini.

Menurut Adelene, yang bercakap pada forum Endeavor berkenaan, antara rahsia kejayaannya berjaya mendaki tangga korporat pada usia muda termasuklah sentiasa turun padang untuk memastikan bisnes berjalan lancar. 

“Antara pengajaran terbesar saya boleh kongsi terutama di Grab adalah sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dan bertimbang rasa dalam apa jua keadaan. 

“Kalau perlu turun padang untuk mengenal pasti satu isu atau cabaran itu, kita turun padang. Saya percaya langkah tersebut dapat membantu seseorang pemimpin dalam urusan decision-making yang memberi impak kepada sekeliling,” katanya. 

Berpengalaman 10 tahun di Grab, Adelene sebelum ini merupakan Pengurus Grab Malaysia antara 2012 dan 2014 sebelum berpindah ke jawatan Pengurus Merchant Serantau GrabExpress.

Ditanya tentang peranan sebagai mentor menerusi program ScaleUP dan Tegas anjuran Endeavor, Adelene berkata, beliau ingin melihat budaya start-up terus berkembang di negara ini. 

“Usahawan start-up perlu mahirkan diri dengan skil kepimpinan, bisnes strategi pemasaran serta sentiasa bersedia dengan innovasi teknologi dan data. 

“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan ini untuk menyumbang dan memajukan negara,” ujarnya lagi. 

Mengulas lanjut, Adelene mengenang perjalanan kariernya di Grab (MyTeksi) suatu ketika dahulu sekitar 2012 sebagai pengurus kanan syarikat terbabit. Katanya, menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat bertemu dengan para pekerja termasuk para pemandu e-hailing yang merupakan tulang  belakang terpenting jenama Grab. 

“Bagi saya, rakan-pemandu dan penghantar adalah pendekar kita yang paling berharga. Kalau berlaku sebarang kemalangan di jalan raya, mereka adalah orang pertama yang menghulurkan bantuan. Mereka juga bekerja lebih masa demi anak-anak di rumah dan keluarga. 

“Semua pendapat adalah amat penting di Grab tidak mengira pangkat. Kami amat terbuka untuk berdialog demi kemajuan sejagat,” katanya. 

Bekas jurutera perisian di Grab Malaysia pada 2011 yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) GXBank iaitu Fadrizul Hasani turut berkongsi aspirasi kariernya di forum berkenaan. 

Faridzul berkata, beliau berpegang teguh kepada amalan 3Cs iaitu Courageous, Curious & Cinta yang bertitik tolak daripada budaya diamalkan di Grab Malaysia.

“Di Grab dan GXBank, kami berpasak pada frasa: ‘Sebulan rasa seperti setahun lama’ kerana betapa pantasnya cara kerja di dua organisasi tersebut. Walaupun tekanan (bekerja) sejak hari pertama di GXBank, kami berjaya mengatasinya dengan jayanya.

“Kami telah berjaya menyemai budaya bekerja Grab 4Hs – Heart, Hunger, Honour dan Humility yang kemudiannya bercambah menjadi 3Cs (Courageous, Curious & Cinta) yang mana dipraktikkan dalam kalangan pekerja dan juga para pelanggan,” katanya.

Faridzul berharap apa yang dikongsikannya dapat memberi inpirasi kepada pengusaha syarikat kecil atau start-up sekali gus memberi impak positif kepada mereka mengembangkan potensi bisnes masing-masing.

“Apa yang saya boleh janjikan kepada perintis start-up adalah bimbingan untuk berkembang maju namun mereka perlu cakna akan kelemahan mereka termasuk mengenal bila pasukan mereka barada di sesuatu kedudukan.  Untuk berjaya, tiada siapa dapat melakukannya seorang diri. Kita perlukan pasukan yang kuat termasuk sistem sokongan yang bukan hanya staff dan ahli keluarga.

“Menjadi mentor selaras dengan semangat dan visi saya sendiri untuk menghidupkan semula senario permulaan teknologi di Malaysia. Saya percaya bahawa dengan berkongsi pengalaman dan pandangan saya, saya boleh membantu memberi inspirasi dan memperkasakan generasi usahawan baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI