PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kucing peliharaannya terpaksa dibawa ke balai bomba selepas kepala haiwan itu tersangkut dalam tin makanan kucing.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @suhailarahman12, seorang anggota bomba dilihat cuba mengeluarkan yang tersangkut dalam sangkarnya, namun gagal. Akibatnya, mereka terpaksa mencabut bahagian atas sangkar tersebut.
Pada minit ke-1.25, anggota bomba lain menggunakan pemotong untuk memotong tin makanan kucing itu dan berjaya melepaskan kepala kucing yang tersangkut. Kucing yang bergelar Adik tersebut kelihatan lega sebaik sahaja kepalanya berjaya dikeluarkan.
“Aish. Haru sungguh lah. Tak pernah masuk balai bomba. Biasa kejadian macam ini tengok video orang lain tapi kali ini jadi dekat anak bulus sendiri. Walaupun agak kelam kabut tapi lebih kepada lawak,” luah Suhaila di ruangan kapsyen.
Hantaran ini telah meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata tercuit dan terhibur dengan insiden yang berlaku dan ada juga yang berkongsi nasihat tentang cara pembuangan tin makanan dengan betul.
“Kucing nampak kecil lagi. Kalau kucing kecil macam ini, memang ada jenis suka korek tong sampah. Pengalaman lah dik, siapa suruh nakal,” komen Noorushahadah Muhamad.
“Harap semua yang nak buang tin, pastikan kemekkan dulu,” nasihat Umiati.
“Menyesal dua hari je ni. Lepas tu dia buat balik,” usik Nadia. – KOSMO! ONLINE