SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan modul pemulihan akidah kepada lebih 100 anak-anak bekas anggota GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang masih tidak dituntut keluarga.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di ibu negara.
Katanya, ini berikutan terdapat kanak-kanak tersebut masih dalam proses pengesahan identitinya.
“Namun, kita (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga kini masih meneruskan modul pemulihan khas kepada kanak-kanak itu dalam aspek agama terutama akidah manakala yang lain diuruskan oleh JKM.
“Proses pemulihan akidah itu setakat ini masih berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi Bantuan Banjir MAIS di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 20 guru al-Riqab terlibat dalam proses pemulihan akidah menggunakan modul khas itu dengan kerjasama JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.
Minggu lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan lebih 130 kanak-kanak tidak dituntut keluarga berikutan takut tampil menemui pegawai JKM selain ada ibu bapa tidak berkemampuan dari segi ekonomi untuk membayar kos peguam untuk menuntut anak-anak di bawah jagaan JKM.- KOSMO! ONLINE