Oleh MOHD RAFIE AZIMI
JITRA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 250 kilogram (kg) halia dari Thailand ke negara ini tanpa dokumen sah di Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Selasa lalu.
Pengarahnya, Lily Rosalind berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan rutin dijalankan terhadap sebuah lori di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 9.50 malam.
“Pemeriksaan mendapati lori tersebut sarat dengan halia seberat 250 kg yang bernilai RM848.
“Pemandu lori berkenaan bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen sah seperti permit import dikeluarkan Maqis serta sijil fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, perbuatan itu menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang membawa kepada denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sentiasa memantau dan memeriksa hasil pertanian di setiap pintu masuk ke negara ini untuk memastikannya bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar. – K! ONLINE