PETALING JAYA – Melalui pelbagai ujian sepanjang tahun ini, penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui menjalani sesi terapi bersama pakar psikiatiri bagi memastikan kestabilan kesihatan mentalnya.
Menurut Nora, 51, bukan sahaja dirinya, anak-anaknya juga turut menjalani sesi terapi tersebut sejak enam bulan lalu dan menunjukkan hasil yang positif.
“Secara jujur kalau tanya bagaimana saya stabilkan fikiran selepas melalui banyak perkara termasuk pemergian ibu baru-baru ini, saya sebenarnya bertemu dengan pakar psikiatri sejak enam bulan lalu. Bukan sahaja saya, anak-anak juga.
“Adakalanya kita tidak tahu, dalam menempuh kehidupan memang banyak dugaan dan mahu membesarkan anak-anak juga banyak cabaran.
“Ini bagi saya bukan benda tak baik tetapi untuk elak kesihatan mental terjejas. Hasil, memang nampak perkembangan yang baik kepada kami semua,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Ujarnya, sesi terqpi tersebut bukan sahaja untuk kesihatan mental tetapi juga membantu untuk menjadi seorang individu termasuk sebagai ibu yang lebih baik.
“Saya tidak pernah kata diri sendiri betul dan tidak terlepas daripada membuat keputusan salah atau melakukan kesalahan.
“Namun, saya bukan seorang ibu yang sempurna tetapi kalau boleh mahu jadi terbaik untuk anak-anak.
“Jadi, saya tak mahu semua kesalahan dan masalah sendiri beri kesan negatif kepada mereka. Membesarkan anak tanpa ayah kandung sangat mencabar terutama, anak perempuan remaja. Hidup memang ‘keras’ tetapi perlu hadapi juga,” jelasnya.
Berkongsi tentang konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan, Nora mengakui perasaan teruja melebih daripada rasa gementar.
Namun akuinya, kerisauannya untuk konsert tersebut adalah tentang sambutan ramai termasuk penjualan tiket.
“Ketakutan saya ialah persoalan yang timbul dalam fikiran iaitu masih adakah mahu hadir ke konsert dan melihat saya menyanyi?
“Adakalanya fikir perasaan macam okey tetapi sebenarnya risau ditambah pula banyak penganjuran konsert penyanyi lain dan saya pula bukan lagi dalam liga mainstream yang kerap muncul pada persembahan berskala besar.
“Jadi semua itu membawa kepada kebimbangan juga untuk penganjuran konsert ini. Namun, syukur alhamdulillah, penjualan tiket berjalan dengan baik. Saya tidak mengharapkan terus ‘sold out’ sebab sedar diri.” ujarnya.
Pemilik nama penuh Wan Norafizah Wan Ariffin itu juga bersyukur dapat bekerja bersama Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik dan Jennifer Thompson pula selaku pengarah persembahan untuk konsertnya.
“Sebenarnya, mengadakan konsert bersama dua figura ini merupakan ‘wasiat’ yang pernah ditinggalkan suami saya, Allahyarham Johan Nawawi.
“Katanya, kalau nak buat konsert, mereka perlu ada. Jadi, impian arwah tercapai, walaupun dia sudah tiada, saya akan realisasikan impiannya dengan penganjuran konsert solo ini.
“Syukur, hasil kerja keras sejak lebih dua dekad terbayar. Tidak sabar nak hiburkan peminat nanti,” jelasnya yang bakal mendendangkan sebanyak 17 buah lagu pada konsert itu nanti.
Terdahulu, pada 19 November lalu, pelantun lagu Samudera itu kehilangan ibu tersayang, Wan Azizah Wan Ismail.
Sejak beberapa bulan lalu, Nora juga tidak terlepas daripada dihambat kontroversi termasuk muat naik video diceraikan dan ‘perang’ bersama anak tirinya dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE