PETALING JAYA – Pihak yang mendakwa ibu bapa kepada mayat bayi lelaki yang ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta sebagai tidak bernikah diberi tempoh selama tiga jam untuk memadam dakwaan tersebut di media sosial.
Peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, bapa bayi tersebut kini merupakan anak guamnya dan beliau telah melihat sijil nikah anak guamnya daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
“Berkenaan sijil nikah anak guam, kami sudah lihat (sijil nikah). Ia satu bukti yang kukuh. Tindakan (terhadap) fitnah sedang dilakukan. Pihak mendakwa anak guam kami tidak bernikah, kami beri tiga jam untuk padam.
“Kami sudah kenal pasti mereka yang buat live di TikTok dan sebagainya. Kita akan lihat siapa yang kena,” katanya menerusi siaran langsung bersama bapa Muhammad Adham Mikail, jenazah bayi yang dibeku 16 hari di TikTok malam ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kira-kira 16 hari, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Bukan sahaja jasad bayi itu didakwa ‘ditahan’ selama 16 hari, ibunya juga dikatakan tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil dibayar si bapa pada pukul 11 pagi kelmarin.
Bayi itu meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan kerana tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung serta tiada saluran lubang najis.
Hospital terlibat menerusi satu kenyataan media baru-baru ini bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Terdahulu, Ahmad Zaharil berkata, beliau akan berusaha sehabis baik untuk membantu ibu bapa bayi tersebut termasuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan sivil.
Kata beliau, persoalan yang timbul adakah sesebuah hospital dibenarkan untuk menyimpan mayat selama 16 hari dan menjadikan mayat sebagai cagaran.
“Apakah justifikasi mayat itu dijadikan cagaran? Itu isunya. Apakah kita hendak korbankan nilai kemanusiaan?,” katanya. – KOSMO! ONLINE