fbpx

Megat anggap Shapawi hipokrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEGAT akan mempertahankan jawatan Presiden MPM yang sudah disandangnya sejak 2019 menjelang AGM Sabtu ini.

KUALA LUMPUR – Situasi menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) makin panas apabila Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mempersoalkan niat Datuk Ahmad Shapawi Ismail mencabarnya untuk jawatan tersebut.

Beliau menggesa Shapawi supaya berehat apabila mendakwa beliau tidak serius memperjuangkan nasib persatuan dan atlet para negara ketika memegang jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Justeru, Megat menjelaskan, beliau akan mempertahankan jawatan pada AGM badan induk sukan paralimpik negara itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Para, Kampung Pandan Sabtu nanti.

“Kenapa baru sekarang nak jadi hero sukan para? Bagi saya semua ini tindakan hipokrit kerana selama sembilan tahun sebagai Ketua Pengarah MSN, beliau tidak serius memperjuangkan nasib persatuan dan atlet para negara.

“Selama beliau memiliki kuasa dulu, berlaku penindasan kepada sukan para dan ia adalah satu fakta, jadi bagi saya adalah lebih baik beliau berehat sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Shapawi dalam satu kenyataan menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden MPM dengan dakwaan bahawa ada sebahagian ahli gabungan MPM sendiri mahukan perubahan dalam tampuk kepimpinan.

Bagaimanapun, Megat menegaskan, beliau mengambil keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2019 kerana menganggap perjuangannya bersama badan induk itu masih belum selesai.

“Antara fokus utama ialah untuk memeterai dua kontrak kerjasama penting dengan syarikat besar yang bakal menyediakan dana bagi menyokong program akar umbi prestasi tinggi serta program luar podium.

“Usaha ini adalah bertujuan bagi memperkasakan persatuan sukan para kebangsaan selain memacu pembangunan sukan para dalam negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI