SABAH FC terpaksa memanggil semula empat tonggak Harimau Malaya bagi menguatkan pasukan menjelang aksi getir Piala Malaysia bertemu Kuching City FC di Stadium Negeri pada Ahad ini.
Empat pemain iaitu Stuart Wilkin, Daniel Ting, Dominic Tan dan Darren Lok diarahkan pulang daripada kem latihan Harimau Malaya sejurus tamat perlawanan Piala ASEAN 2024 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Pengurus Besar Sabah FC, Mohd. Joh Wid berkata, semua pemain itu dipanggil kembali ke pangkuan pasukan kerana keempat-empat mereka adalah tonggak utama dan nadi pasukan musim ini.
“Sudah semestinya kita memerlukan khidmat mereka (Wilkin, Daniel, Dominic dan Darren) untuk menghadapi Kuching City dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad ini di gelanggang lawan.
“Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana memberi pelepasan. Ini adalah perlawanan penting untuk Sabah dalam misi memburu kelebihan mara ke separuh akhir.
“Empat pemain ini akan terbang dari Kuala Lumpur terus ke Kuching untuk bersama pasukan, mereka tidak akan sertai Harimau Malaya ke Thailand untuk aksi Piala ASEAN pada Sabtu ini (esok),” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Joh mengesahkan semua pemain terbabit bebas kembali menyarung jersi kebangsaan bagi mengharungi perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN menentang Singapura pada 20 Disember ini.
“Jika masih diperlukan selepas ini, kita bersedia untuk lepaskan mereka. Kita mahu guna untuk perlawanan menentang Kuching City sebab mereka adalah harapan dan juga tonggak utama,” katanya.
Sabah yang kini dibimbing oleh Martin Stano dilihat antara pilihan utama untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini. – KOSMO! ONLINE