JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengesahkan tidak akan beraksi pada Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Februari depan.
Meskipun tidak bersaing di kejohanan itu, The Pocket Rocketman tetap akan hadir untuk memberi sokongan penuh kepada pelumba-pelumba negara yang lain.
“Setakat ini tiada niat berkayuh. Sudah tiba masanya untuk saya beri sokongan dari segi moral dan juga apa-apa yang saya boleh bantu.
“Sepertimana saya beritahu sebelum ini, selepas Olimpik baton diserahkan, kita ada Shah Firdaus Sahrom, ada adik beliau Ridwan Sahrom, Fadhil Zhonis dan pelumba muda lain,” katanya yang mesra disapa Jijoe.
Azizulhasni menegaskan, buat masa ini, peralihan kepada pelumba muda adalah lebih penting dalam persiapan mereka untuk Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya, Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Harapnya mereka akan meningkat naik untuk persiapan Sukan Asia, Sukan Komanwel seterusnya Olimpik Los Angeles 2028,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Malam Anugerah MOM ke-27 kelmarin.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill sebelum ini memberi bayangan Azizulhasni berkemungkinan kembali bersaing di ACC 2025 disebabkan semangat dan tenaganya yang tidak pernah pudar.
Bagaimanapun, pelumba berusia 36 tahun itu menjelaskan fokus utamanya kini adalah pada pengajiannya dalam bidang Ijazah Sains Senaman Klinikal di Universiti Deakin, Melbourne yang dijangka tamat setahun lagi.
“Tadi saya jumpa jawatankuasa PKBM, mereka ada pujuk saya sertai Sukan Asia atau Sukan Komanwel tetapi saya katakan kepada mereka saya tidak dapat janjikan apa-apa.
“Kita tunggu 2024 habis dulu, tahun yang penuh cabaran. Nanti kita tengok 2025 macam mana pula gambarannya,” tambahnya.