fbpx

Kecederaan sukan biasanya memerlukan pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bola sepak merupakan salah satu sukan yang boleh menyebabkan kecederaan serius. – Gambar hiasan

KECEDERAAN adalah aspek yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seseorang ahli sukan.

Sama ada profesional atau sekadar memenuhi masa lapang, mereka boleh menghadapi risiko kecederaan kerana tuntutan fizikal sesuatu sukan.

Apabila terjadi kecederaan yang teruk, pembedahan ortopedik penting dalam memastikan pemulihan berkesan dan mengembalikan fungsi penuh.

Pakar Bedah Ortopedik, Sukan dan Trauma di Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Dr. Mazzre Mahmod berkata, diagnosis dan campur tangan segera boleh memberikan perbezaan besar dalam masa pemulihan atlet.

Menurutnya, memahami sifat kecederaan adalah langkah pertama ke arah pemulihan yang berjaya.

“Kecederaan sukan secara amnya dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu kecederaan tulang dan kecederaan tisu lembut.

“Kedua-dua kategori sering memerlukan campur tangan pembedahan, namun bergantung kepada tahap kerosakan,” katanya.

Tambah Dr. Mazzre, keretakan tulang dan tekanan adalah perkara biasa terutamanya dalam sukan berimpak tinggi seperti bola sepak atau bola keranjang.

Ujarnya, kecederaan ini mungkin berlaku akibat trauma secara tiba-tiba seperti terjatuh atau pukulan langsung semasa permainan.

Dia menekankan bahawa tulang yang patah mesti dirawat dengan cepat untuk mengelak komplikasi jangka panjang seperti penyembuhan tulang tidak betul atau kehilangan fungsi.

Selain itu, kecederaan ligamen, tendon dan tulang rawan merangkumi sebahagian besar trauma yang berkaitan dengan sukan. Kecederaan Ligamen Cruciate Anterior (ACL) dan Ligamen Kolateral Medial (MCL) sering berlaku

pada atlet yang bermain sukan melibatkan perubahan arah cepat seperti bola sepak dan badminton.

Biasanya, ia memerlukan pembedahan untuk memulihkan kestabilan sendi.

DR. MAZZRE

Dr. Mazzre menjelaskan, kecederaan ini boleh menjejaskan kestabilan lutut dan pembedahan diperlukan untuk memulihkan fungsi normal.

Meniskal koyak adalah satu lagi isu biasa, terutamanya dalam sukan seperti berlari.

Apabila tulang rawan rosak, prosedur invasif minimal seperti arthroskopi digunakan untuk membaiki atau mengeluarkan tisu cedera.

“Diagnosis dan rawatan awal dapat meningkatkan masa dan hasil pemulihan dengan ketara.

“Atlet yang menangguhkan rawatan sering menghadapi tempoh pemulihan lebih lama dan peningkatan risiko kecederaan semula,” jelasnya.

Beberapa kecederaan sukan yang paling biasa memerlukan pembedahan ortopedik termasuk kecederaan ligamen, kerosakan tulang rawan dan patah pergelangan kaki.

Dalam pada itu, Dr. Mazzre berkata, memahami bagaimana kecederaan berlaku adalah penting untuk pencegahan dan rawatan.

“Kecederaan boleh disebabkan oleh sentuhan langsung seperti dilanggar pemain lain ketika bermain bola sepak atau sendi terseliuh kerana pendaratan kaki tidak sempurna.

“Mengetahui mekanisme kecederaan membantu kami menyesuaikan pendekatan pembedahan dan pelan pemulihan,” katanya.

Usia dan kecederaan masa lalu juga memainkan peranan penting dalam menentukan keparahan dan pemulihan kecederaan sukan.

Seiring bertambahnya usia atlet, tisu mereka secara semula jadi menjadi kurang elastik dan proses penyembuhan menjadi lebih perlahan.

Atlet lebih tua sering mengalami kecederaan tisu lembut lebih teruk, dan memerlukan masa lama untuk sembuh, walaupun dengan campur tangan pembedahan.

Sementara itu, pengimejan resonans magnetik (MRI) memainkan peranan penting dalam mendiagnosis kecederaan sukan.

“MRI membolehkan kita melihat tisu lembut dengan terperinci untuk mendiagnosis kecederaan ligamen, tulang rawan dan tendon.

“Ini membantu memastikan bahawa pembedahan yang dirancang bermanfaat bagi pesakit,” ujar Dr. Mazzre.

Evolusi pembedahan ortopedik telah menyaksikan kemajuan yang ketara, terutamanya dengan pengenalan teknik invasif minimum.

Secara tradisinya, pembedahan untuk kecederaan sukan memerlukan belahan besar yang menyebabkan masa pemulihan lebih lama.

Dr. Mazzre berkata, kaedah ini berkesan tetapi datang dengan ketidakselesaan selepas pembedahan dan tempoh pemulihan lebih lama.

Menurutnya, pembedahan moden telah merangkumi artroskopi iaitu teknik minimal invasif yang menggunakan belahan lebih kecil dan instrumen khusus.

“Artroskopi membolehkan kita merawat kecederaan seperti ACL dan kerosakan meniskal dengan trauma yang kurang kepada tisu sekitarnya,” terangnya.

Dengan integrasi teknologi pengimejan canggih dan alat pembedahan lebih tepat, prosedur ini telah meningkatkan pemulihan dalam jangka masa pendek.

Selepas pembedahan ortopedik, tumpuan beralih kepada rehabilitasi.

“Pelan rehabilitasi yang komprehensif adalah penting untuk mendapatkan semula kekuatan, fleksibiliti, dan mobiliti,” kata Dr Mazzre.

Salah satu cabaran dihadapi atlet adalah komitmen terhadap fisioterapi.

Fisioterapi harus dilihat sebagai sebahagian daripada rawatan dan bukan hanya tambahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI