MIRI – Dua lelaki mati lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mandi selepas memancing di Pantai Lutong, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 2.17 petang tadi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi untuk melakukan pencarian.
“Mangsa pertama dijumpai terdampar di tepi pantai pada pukul 2.40 petang, manakala mangsa kedua ditemui terapung 30 meter dari pantai pada pukul 2.50 petang,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata menurut seorang rakan mangsa yang selamat, mereka bertiga sedang mandi selepas memancing di pantai berkenaan.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua mangsa berusia 18 dan 23 tahun dibawa arus dan terus tenggelam.
“Rakan mangsa terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE