MUAR – Seorang petani dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan perbuatan jijik melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia 11 tahun, lima tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang mewakili tertuduh berusia 56 tahun gagal menimbulkan keraguan munasabah sekali gus mensabitkan kesalahan dilakukannya.
Dalam penghakiman itu, Abu Bakar berkata, mahkamah juga membaca, menilai dan meneliti keterangan pembelaan tertuduh yang diberikan melalui kandang saksi, dan juga keterangan tambahan secara lisan dan bersumpah, selain pemeriksaan balas daripada pihak pendakwaan.
“Atas penilaian maksimum, mahkamah berpendapat tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini dan keterangan pembelaan oleh tertuduh adalah bersifat penafian tanpa tidak disokong oleh fakta dan keterangan munasabah.
“Berdasarkan pandangan mahkamah, keterangan khususnya saksi pendakwaan pertama yang juga saksi mata dan mangsa adalah konsisten,” katanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 11 tahun sekitar pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Parit Jawa di sini, sekitar 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan manakala tambahan hukuman bagi Seksyen 16 pula ialah penjara lima tahun dan dua sebatan, jika sabit kesalahan.
April lalu, mahkamah sama memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Razak Shariff.
Sejurus menjatuhkan hukuman itu, pihak pembelaan bangun memohon penangguhan hukuman atas permintaan anak guamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Muar.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan serta menaikkan ikat jamin daripada RM10,000 kepada RM13,000 selain mengekalkan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. – KOSMO! ONLINE