PASIR MAS – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada sekolah yang berisiko ditenggelami banjir pada tahun depan.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata, SOP itu akan menempatkan makmal, bilik guru dan buku teks di tingkat atas bangunan sekolah sebagai langkah untuk mengelakkan kawasan tersebut ditenggelami banjir.
Menurutnya, selain itu, bilik darjah yang terletak di tingkat bawah menggunakan peralatan diperbuat daripada plastik bagi mengelakkan kerosakan dan kerugian.
“Saya akan bawa cadangan SOP itu ke peringkat kementerian supaya ia terpakai di semua sekolah.
“Besar harapan saya untuk melihat SOP tersebut diguna pakai bermula tahun depan,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruji memberitahu, sebanyak 15 sekolah membabitkan sekolah rendah dan menengah terjejas banjir di Kelantan. – KOSMO! ONLINE