TANJUNG MALIM – Sekumpulan perompak angkuh tumpas dalam kejadian berbalas tembakan di susur keluar Proton City ke bandar Tanjung Malim di sini pada pukul 5.20 pagi tadi.
Suspek menyasarkan taman perumahan dan kediaman di kawasan pedalaman untuk melakukan aktiviti jenayah, samun dan kes pecah rumah. Suspek utama lelaki berusia 37 tahun ditembak mati dalam kejadian tersebut.
Turut ditembak mati dalam kejadian sama ialah suspek lelaki berumur 29 tahun.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek dipercayai terbabit dalam 20 kes samun dan 10 kes pecah rumah di Tanjung Malim.
Katanya, kumpulan perompak itu seolah-olah mencabar polis apabila melakukan ugutan dengan kata-kata seperti ‘Call (hubungi) polis, aku tak takut, diorang (mereka) bukan boleh tangkap aku’ dan ‘Jangan repot (lapor) polis, kalau repot kami akan cari di tempat kerja’.
“Polis percaya ada mangsa yang telah diberikan amaran tersebut berasa takut untuk membuat laporan. Namun, setakat ini tiada mangsa yang membuat laporan berkatan keselamatan mereka ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, polis merampas kereta jenis Proton Persona yang dipercayai menggunakan nombor plat palsu, sepucuk pistol, sebutir peluru, dua bilah parang panjang, dua sarung muka dan dua pasang sarung tangan. – KOSMO! ONLINE