ALOR GAJAH – Kawasan Parlimen Masjid Tanah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah banjir di beberapa kawasan zon merah yang telah dikenal pasti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoh selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) meluluskan peruntukan khas tersebut semasa lawatan kerja beliau di Masjid Tanah, bulan lalu.
Katanya, peruntukan itu akan disalurkan kepada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Tanjung Bidara, Lendu dan Ayer Limau.
“Kita prihatin terhadap masalah yang menimpa penduduk Masjid Tanah terutama di kawasan Masjid Tanah Ria yang mengalami banjir empat kali setahun.
“Kawasan zon merah lain yang turut diberi perhatian adalah di Sungai Siput dan Sungai Jernih. Jadi, saya mohon kepada Yang Amat Berhormat (Fadillah) untuk diberikan bajet dan sebanyak RM6 juta telah diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas Program Town Hall Hotspot Banjir Kawasan Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan DUN (Japerun) Lendu di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, senarai kerja yang akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan diterima akan diperincikan dalam tempoh dua minggu.
Jelasnya, ini kerana masalah banjir yang dihadapi setiap DUN dalam Parlimen Masjid Tanah adalah tidak sama. – KOSMO! ONLINE