PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa beliau harus dilepas dan dibebaskan berkaitan empat pertuduhan dihadapinya iaitu pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Antara antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya terhadap keempat-empat pertuduhan tersebut.
Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Kian Kheong hari ini, Syed Saddiq, 32, berkata Hakim telah terkhilaf dari segi undang -undang atau fakta apabila memerintahkan bahawa suatu kes prima facie telah dibuktikan oleh pendakwaan berkenaan dengan empat pertuduhan tersebut.
“Hakim terkhilaf apabila gagal untuk memutuskan walaupun semua keterangan pendakwa jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan, tidak menunjukkan sebarang kesalahan sepertimana empat pertuduhan tersebut selain Hakim gagal untuk menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pendakwa, terutamanya saksi pendakwaan ke-13 (SP13),” kata Syed Saddiq menerusi dokumen petisyen itu.
Sementara itu berhubung dengan pembelaan, Syed Saddiq menyatakan Hakim terkhilaf dari segi undang -undang atau fakta apabila gagal mengambil kira pembelaan berkenaan dengan kesemua empat pertuduhan itu.
Ia antaranya tidak mempertimbangkan kesemua keterangan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, melanggari seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah dan tiada penilaian yang adil saksama terhadap kes pembelaan berkenaan.
“Tiada pertimbangan terhadap pelbagai aspek keterangan yang memihak kepada pembelaan yang mana ia telah dibuat secara bertentangan dengan keberatan keterangan dengan memprejudiskan perayu,” katanya lagi.
Selain itu turut dibangkitkan ialah alasan penghakiman yang diberikan kira-kira tiga belas bulan selepas keputusan telah menjejaskan dan memprejudiskan perayu.
Justeru berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan Syed Saddiq memohon agar sabitan-sabitan dan hukuman-hukumannya diketepikan dan beliau dibebaskan dan dilepaskan.
“Hukuman-hukuman yang telah dijatuhkan adalah nyata melampau dan tidak mengikut prinsip-prinsip hukuman yang boleh diterima,” kata petisyen itu lagi.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan di sini menetapkan selama dua hari pada 19 dan 20 Mac tahun depan bagi pendengaran rayuan
Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi itu.
Terdahulu, dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November lalu, Mahkamah Tinggi berpendapat, tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).
Pada 9 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta, manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun.
Bagaimanapun ada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE