PORT DICKSON – Tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan dalam operasi mencari seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, di Gerik, Perak pada 30 November lepas.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, misi pencarian LKpl Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi daripada pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor yang masuk hari ke-12 itu masih diteruskan melalui kumpulan carilamat terdiri daripada lapan kumpulan dari TDM.
“Tiada penglibatan dari agensi lain kerana operasi ini melibatkan operasi carilamat dalam kawasan hutan. Keseluruhan anggota yang terlibat ialah enam pegawai dan 126 lain-lain pangkat dari 23 RAMD, 2 RRD dan 22 komando masih meneruskan operasi carilamat di sekitar tempat kejadian (sungai merah).
“Pihak ATM akan terus melaksanakan operasi carilamat dan buat masa ini belum berbincang untuk kata putus bagi menghentikan operasi carilamat walaupun ia mempunyai tempoh masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE