TANAH MERAH – Seorang juruteknik maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah kereta di Lebuh Raya Timur-Barat berdekatan Kampung Air Asahan di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati si mati yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan menghala ke Tanah Merah.
Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Volkswagen Polo dipandu lelaki berusia 49 tahun yang berada di bahu jalan dipercayai bergerak masuk ke laluan utama.
“Mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kiri belakang kereta tersebut sebelum terjatuh atas jalan raya,” katanya.
Mohd. Haki memberitahu, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Esmasyauqi Ismail di talian 012-599 0139. – KOSMO! ONLINE