JAKARTA – Sebuah restoran di Indonesia mengundang perhatian orang ramai selepas melancarkan minuman istimewa berupa kopi dibancuh bersama mi segera Indomie, lapor portal berita Must Share News kelmarin.
Dinamakan Kopi Indomie, minuman itu dilancarkan di Bilik Rumah Coffee di Ciamis, wilayah Jawa Barat pada 17 Ogos lalu.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bilikrumah.coffee memaparkan minuman itu mengandungi gula, susu, ais dan kopi.
Kopi itu kemudian ditambah Indomie yang direbus, perencah serta bawang goreng.
Akhir sekali, ia dihiasi hirisan cili padi serta limau nipis.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.3 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi di ruangan komen.
“Saya terlalu waras untuk mencuba minuman seperti ini,” sindir seorang netizen. — AGENSI