fbpx

Saya sentiasa berdoa, tak pernah putus – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika keluar dari Mahkamah Rayuan hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah berhenti berdoa supaya dilepas dan dibebaskan daripada daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Saya sentiasa berdoa begitu (lepas dan bebas) dan saya tidak pernah putus-putus untuk untuk memohon kepada Allah,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut bersyukur kerana Peguam Negara (AG) menarik balik rayuan yang dikemukakan pendakwaan selain berterima kasih kepada barisan peguamnya yang bertungku lumus dalam kes ini.

Sementara itu peguam Datuk Hisyam Poh Teik yang mengetuai barisan pembelaan ketika ditemui berkata beliau juga turut bersyukur dengan keputusan lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran dan kami sudah bersedia (berhujah terhadap rayuan pendakwaan). Keputusan hari ini (lepas dan bebas) adalah kejutan yang baik,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid kekal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas 40 pertuduhan tersebut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkam bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.

“Setelah AGC menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan rayuan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Ahmad Zahid kemudian mengemukakan representasi pertama kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari 2023 manakala representasi kedua pada Februari tahun ini untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuannya.

Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI