fbpx

‘Masuk usia 40 tahun, rasa seperti pengakhiran dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEWAKTU diundang menonton konsert Michael Learns To Rock (MLTR) di Arena Of Stars Genting Highlands, saya tertanya-tanya adakah konsert ini bakal ‘full house’ memandangkan kumpulan yang berasal dari benua Eropah itu sudah bergelar otai.

Jika ada yang mahu pergi menonton pun, pastinya hanya peminat setia mereka yang sudah memasuki usia senja.

Namun jangkaan saya meleset. Arena Of Stars pada malam itu penuh dengan 5,000 peminat MLTR yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa. Tidak dinafikan majoriti penonton adalah mereka yang berusia 30-an ke atas.

Buat yang mungkin kurang mengenali siapa Michael Learns To Rock, kumpulan ini dianggotai tiga jejaka berasal dari Denmark iaitu Jascha Richter selaku vokalis, Mikkel Lentz (gitar) dan Kare Wanscher(dram).

Inspirasi ‘Michael’

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana kumpulan ini mendapat nama Michael Learns To Rock. Siapakah Michael kerana tiada seorang pun dalam kumpulan ini bernama Michael.

Menurut Richter, nama band mereka diinspirasikan daripada Michael Jackson kerana terlalu meminati penyanyi pop itu.

Mereka sering tertanya-tanya bagaimana agaknya jika Michael Jackson menyanyikan lagu rock. Daripada situlah terciptanya nama Michael Learns To Rock.

Sepanjang dua jam konsert berlangsung, penonton dibuai perasaan dengan rangkaian lagu malar segar yang menggamit memori.

Antara lagu popular mereka yang dinyanyikan pada malam itu adalah 25 Minutes, Thats Why You Go Away, Someday, Paint My Love, Sleeping Child, Take Me To Your Heart, Breaking My Heart dan banyak lagi.

Menurut Richter, nama band mereka diinspirasikan daripada Michael Jackson kerana terlalu meminati penyanyi pop itu.  

Sempat mereka membuka cerita memori kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia kira-kira 30 tahun lalu.

“Untuk pengetahuan semua, Malaysia adalah negara Asia pertama yang kami lawati. Masih segar dalam ingatan kami, kali pertama membuat persembahan di kafe Hard Rock dengan jumlah penonton sebanyak 300 orang. Detik itu adalah permulaan untuk segala-galanya.

“Dan, hari ini kami sangat gembira dapat kembali lagi ke Malaysia untuk menghiburkan kalian semua.

“Sejak kali pertama kami ke sini, kalian telah menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi. Dan, kalian telah membuktikan bahawa muzik adalah bahasa universal untuk setiap orang di seluruh dunia. Terima kasih di atas cinta ini,” kata Lentz.

Rahsia bertahan

MLTR turut berkongsi rahsia mereka bertahan selama 36 tahun dan kekal bersahabat sehingga ke hari ini biarpun masing-masing sudah memasuki usia emas.

“Ramai yang bertanya bagaimana kami mampu kekal bersama selama hampir empat dekad. Sejujurnya kami berkongsi takdir yang sama dalam bidang muzik. Kami menjadi sahabat rapat dan saling mempercayai antara satu sama lain.

“Tetapi ada satu ‘kuasa’ yang membuatkan kami terus kekal bersama. Tahukah kalian apakah kuasa itu?  Kuasa itu adalah anda, anda dan anda semua,” kata Wanscher.

Biarpun usia semakin mencemburui, Micheal Learns To Rock tetap mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Apa yang menarik tentang konsert ini, selain menyanyi, mereka menceritakan peristiwa dan pengalaman menghasilkan lagu yang dinyanyikan. Misalnya lagu A Life To Remember yang mengisahkan tentang menjadi tua.

“Apabila anda memasuki usia 40 tahun, rasa seperti pengakhiran dunia. Jika mencecah 50 tahun, anda melihat diri dalam cermin dan berkata mungkin anda kelihatan sedikit tua. Tetapi jika genap 60 tahun, anda akan sedar ia adalah waktu sebenar hidup anda,” kongsi Richter.

Kisah lucu

MLTR turut berkongsi kisah lucu sewaktu pertama kali mendengar lagu mereka diputarkan di radio 36 tahun lalu.

“Detik itu sangat istimewa. Ketika sedang memandu tiba-tiba buat pertama kalinya dengar lagu kami dimainkan radio.

“Kami rasa detik itu sungguh istimewa dan mahu abadikannya sebagai kenangan.

“Jadi, kami ambil kamera dan rakam gambar radio kereta. Gambar itu mungkin nampak bosan tetapi kenangannya melekat di hati buat selama-lamanya.

Sebagai tanda menghargai peminat, Richter turun dari atas pentas untuk menyapa penonton.

Sudah semestinya ia menjadi momen terindah buat pengikut setia MLTR kerana dapat melihat dan bergambar dengan idola mereka dari dekat.

Perkara lain yang buat ramai mengagumi band ini, biarpun sudah berusia, tenaga mereka luar biasa. Vokal Richter ibarat telan kaset, tidak sedikit pun tercungap-cungap keletihan. Begitu juga Lentz dan Wanscher, masing-masing mempamerkan persembahan hebat.

Momentum konsertnya juga tidak meleret dan terasa santai. Sesuai untuk mereka yang hadir untuk berhibur dalam suasana yang santai.

Usai konsert, peminat  masih menyanyi beramai-ramai lagu MLTR saat keluar dari arena. Sesuatu yang tidak pernah saya lihat berlaku dalam mana-mana konsert sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI