BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan bahawa kepercayaan dan keserasian antara satu sama lain menjadi kunci kebangkitan selepas meraih kemenangan pertama Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China semalam.
Pada aksi pembukaan Kumpulan B, Tang Jie-Ee Wei dilihat tercari-cari rentak permainan dan mengakui taktikal pada set pertama serba tidak menjadi sekali gus membuka peluang kepada gandingan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meraih kemenangan 14-21.
Tersentak dengan keadaan itu, juara Terbuka Korea tersebut kembali memperkemaskan rentak permainan sebelum bangkit menang dua set terakhir dengan keputusan 21-10, 21-14 dalam tempoh 50 minit ke atas Soon Huat-Shevon.
Tang Jie mengakui komunikasi baik dan kepercayaan antara satu sama lain merupakan kekuatan utama mereka dalam mencipta kebangkitan pada dua set terakhir.
“Kami berdua saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Jika kualiti permainan saya memuaskan, Ee Wei sentiasa berada untuk menampung, begitu juga saya. Kami saling percaya antara satu sama lain.
“Mungkin sebab strategi dan momentum kami yang membuatkan lawan agak bergelut. Kemenangan ini penting buat kami,” katanya.
Kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada Tang Jie-Ee Wei yang kini bersedia berdepan gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dalam perlawanan kedua Kumpulan B hari ini.