PETALING JAYA – Malaysia mengalu-alukan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dari negara Denmark.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelawaan itu selaras dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur pada bulan Ogos yang lalu.
Jelasnya, pelaburan terbabit termasuklah dalam bidang tenaga hijau, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan kesihatan.
“Saya turut menghargai pelabur dari Denmark yang telah membuka hub wilayah di sini, terutamanya syarikat Maersk dan United Plantations,”tulisnya di laman Facebook.
Terdahulu, Anwar memberitahu bahawa beliau telah menerima kunjungan dari Menteri Luar Denmark, TYT Lars Løkke Rasmussen di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, pada pertemuan itu kedua-dua pihak telah menekuni hubungan dan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Denmark.-KOSMO! ONLINE