Tidak meletakkan sebarang harapan tinggi ketika menonton filem Babah arahan sutradara, Mohd. Shah Faizul namun hasilnya cukup meninggalkan ‘bahana’ kerana membuatkan mata berair dari mula cerita hingga penghujungnya.
Secara peribadi, penulis sifatkan Babah sebagai sebuah filem alternatif atau ‘indie’ yang terkandung kualiti luar biasa terutama dari segi plot penceritaan, terjemahan lakonan, lakon layar dan banyak perihal penting lain dalam kemenjadian sesebuah naskhah.
Pertama sekali, syabas diucapkan buat para pelakon terlibat dalam Babah terutama Qi Razali yang melakonkan karakter Isyak iaitu seorang bapa yang bertungkus-lumus membesarkan anak tersayang bernama Maya (lakonan Sweet Qismina).
Qi calon Pelakon Lelaki Terbaik!
Sejujurnya, penulis tidak menyangka Qi boleh menzahirkan kualiti lakonan seperti apa dipaparkan dalam filem terbitan Nads Media Entertainment itu.
Tahu yang Qi seorang pemuzik hebat dan pernah menjadi pemain dram kumpulan OAG, namun sebagai seorang pelakon, pengetahuan penulis tentang kemampuannya sememang bersifat kosong.
Sehinggalah menonton Babah, barulah dapat disimpulkan Qi seorang anak seni yang luar biasa bakatnya. Selain mengalir DNA muzik, dia juga anak wayang yang tahu apa perlu dikerjakan di layar perak.
Watak Babah atau Isyak dimainkan dengan cukup cemerlang. Dari segi penghayatan, lontaran dialog, bahasa isyarat (kerana Isyak kemudiannya kehilangan deria pendengaran), semuanya bertaraf chef’s kiss.
Kejayaan itu disambut barisan pelakon lain seperti Cristina Suzanne (Hayati), Sweet Qismina (Maya) dengan sinergi yang jarang dipamerkan pelakon di layar perak.
Menonton graf lakonan dicetuskan Cristina sebagai Hayati tercetus tanggapan di fikiran, kalau penulis seorang wanita berstatus ibu, ingin menjadi seperti beliau. Seorang ibu yang cool dan tahu bagaimana mengemudi keadaan.
Plot tak klise, mendalam
Seperkara lagi yang membuatkan penulis terkejut adalah kehebatan lakonan Sweet sebagai Maya. Selain Qi yang penulis berani sifatkan sebagai antara calon Pelakon Lelaki Terbaik untuk festival filem tempatan akan datang, Sweet juga terbentang peluang yang sama.
Sekitar dua jam menonton Babah, banyak kali jugalah air mata tumpah ke lantai kerusi pawagam disebabkan dua beranak tersebut.
Selain itu, naratif dipaparkan dalam Babah juga lari daripada kebiasaan atau luar kotak kelaziman.
‘Kenapa Babah tak sama macam ayah lain?’ Daripada kesimpulan itulah kualiti dicetuskan filem ini berjisim sangat berbeza berbanding naskhah tempatan lain.
Kalaulah Babah kertas jawapan peperiksaan, penulis tidak akan teragak-agak meletakkan gred atau markah atas 80 per 100. Luar biasa untuk sebuah filem lokal.