fbpx

Persatuan MyCOMIC himpun kartunis, pelukis komik berpendidikan tinggi, ada PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persatuan MyCOMIC mengumpul kartunis yang memiliki latar belakang akademik tinggi untuk menghasilkan jurnal akademik, menganjurkan persidangan dan acara lain yang menggalakkan pertukaran idea berkaitan industri komik tempatan sekali gus membuang persepsi bahawa golongan kartunis ialah golongan yang lekeh, kurang pendidikan dan tiada masa depan.

SIRI animasi Upin Ipin bukan sahaja popular di Asia Tenggara, tetapi juga di Asia Barat, Asia Selatan dan juga Afrika.

Selain menghiburkan seisi keluarga, animasi tersebut juga memainkan peranan dalam menyebarkan soft power (kuasa lembut) negara ke persada dunia.

Kuasa lembut bermaksud keupayaan sesebuah negara, organisasi atau budaya mempengaruhi orang lain melalui tarikan dan bukannya paksaan.

Ia diterjemahkan menerusi paparan budaya masyarakat kampung Melayu yang menjadi tema utama siri si kembar itu.

Fenomena sama pernah dicapai oleh siri animasi dan komik Kampung Boy yang dihasilkan Lat atau nama sebenar Datuk Mohammad Nor Khalid pada sekitar 1970-an.

Siri yang menggambarkan kehidupan anak kampung bernama Mamat berkenaan disiarkan di lebih 60 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Daripada situ, timbul kesedaran mengenai kepentingan mengkaji dan membahas karya-karya dalam industri kreatif tempatan bermula era 1990-an.

Namun, pada Mei 2023, sekumpulan pengkarya seni komik dengan latar belakang akademik tinggi membentuk Persatuan Komik dan Web Komik Malaysia (MyCOMIC) bagi memastikan kajian dikumpulkan secara sistematik.

Menurut Pengerusi MyCOMIC, Profesor Madya Dr. Ahmad Azaini Manaf, pertukaran ilmu dalam bidang seni komik bersama ahli akademik luar negara dapat membantu pengkarya tempatan memahami pasaran industri tersebut dengan lebih holistik.

“Di Korea, mereka memiliki falsafah bahawa animasi tidak boleh membawa identiti mereka kerana sukar untuk dipasarkan secara global. Oleh itu, mereka memilih karakter yang bersifat universal iaitu Pororo the Little Penguin sebagai salah satu ‘senjata’ bagi mewakili mereka dalam animasi.

“Berbeza dengan Malaysia yang berkongsi ciri serumpun bersama Brunei, Indonesia dan Selatan Thai. Disebabkan itu, budaya mampu menjadi pemicu populariti Upin dan Ipin,” katanya penuh intelektual kepada K2.

Lawatan Dr. Ahmad Azaini (kiri) sebagai wakil MyCOMIC ke Universiti Telkom, Indonesia.

MyCOMIC menganjurkan persidangan, bengkel, simposium dan acara lain yang menggalakkan pertukaran idea, hasil penyelidikan dan amalan terbaik dalam kalangan ahli.

Setakat ini, persatuan telah mengumpul lebih 40 ahli yang terdiri daripada pengkarya dengan pelbagai latar belakang akademik berbeza dari seluruh pelusuk negara. Ia menghimpunkan golongan kartunis yang mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sijil dan dilpoma, terbuka kepada penggiat, ahli akademik dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Persatuan tersebut bahkan turut disertai panel antarabangsa dan kehormat persatuan iaitu Profesor Dr. Hyunseok Lee dan Profesor Dr. Kiheon Yoon dari Korea Selatan serta Dr. Karna Mustaqim dari Indonesia.

Hasilnya, jurnal yang mengandungi sebanyak 200 artikel akademik telah diterbitkan di bawah tajaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada tahun lalu.

Tambah tenaga pengajar di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan itu, perlu ada usaha dalam memastikan seni komik tempatan dapat membentuk ciri lukisan dan penceritaan yang memiliki signatur tersendiri dan diiktiraf.

“Buat masa ini, Malaysia masih belum miliki identiti sendiri kerana kebanyakan lukisan pengkarya dipengaruhi teknik Barat, Jepun dan Korea.

“Bahkan, terdapat segelintir karyawan pada zaman dahulu cenderung menggambarkan orang Melayu dalam siri satira jenaka dengan ciri-ciri tidak menawan. Sebenarnya tak semestinya begitu,” katanya yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang rekaan dan terdahulu ijazah sarjana muda dalam bidang seni reka grafik dan sarjana dalam animasi.
Azaini berkata, persatuan MyCOMIC membuktikan bahawa kerjaya sebagai kartunis boleh diiktiraf sebagai sebuah kerjaya profesional yang turut diceburi oleh golongan berpendidikan tinggi.

“Kartunis bukan sahaja kreatif, tetapi juga memiliki tahap intelektual yang tinggi, membuktikan bahawa seseorang boleh menjadi pelukis kartun sambil mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh,” katanya.

DR. SURAYA mempunyai PhD dalam bidang seni (Manga) di Universiti Kyoto Seika, Kyoto, Jepun.

Menyorot sejarah, seni komik di Malaysia bermula dengan kartun politik pada awal tahun 1920-an yang diterbitkan di akhbar, terutama Utusan Melayu dan Lembaga Melayu.

Industri tersebut kemudian berkembang sebagai satu perniagaan hiburan tempatan yang kukuh bermula dari tahun 1970-an.

Manga (komik Jepun) telah dibawa masuk ke Malaysia melalui Taiwan dan Hong Kong dalam bentuk salinan cetak rompak yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin.

Pada akhir tahun 1990-an, versi terjemahan bahasa Melayu bagi manga telah wujud bagi mereka yang tidak dapat membaca versi bahasa Mandarin.

Bermula tahun 2000-an, platform seperti ComiXology, Webtoon dan Tapas menjadikan komik lebih mudah diakses.

Naib pengerusi MyCOMIC, Dr. Suraya Md Nasir berkata, dia melakukan kajian proses adaptasi teknik dan penceritaan daripada manga Jepun kepada kepada elemen-elemen tempatan.

Wanita dengan nama pena Jonsuraya itu satu-satunya anak Malaysia yang memegang PhD dalam bidang seni (Manga) di Universiti Kyoto Seika, Kyoto, Jepun.

“Saya suka kaji bagaimana pengkarya di Malaysia mengolah rujukan daripada komik-komik Jepun dan kemudiannya jadikan corak lukisan mereka.

“Antara adaptasi paling ketara adalah visual iaitu lukisan seperti manga, tetapi pakai tudung. Kemudian, latar belakang kawasan penceritaan turut ditukar mengikut elemen tempatan.

“Oleh kerana saya seorang artis komik, saya dapat memberikan perspektif yang lebih mendalam berbanding perspektif pengkaji ilmiah semata-mata,” katanya yang merupakan pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian Dan Industri

Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dan juga pelukis komik bersiri Jejon Di Jepun.

Tambah wanita berasal dari Muar, Johor itu, menjadi pelukis komik dengan kelulusan akademik tinggi membantunya untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam melakukan tugasnya itu.

“Sekiranya dahulu, saya melukis untuk menghibur, kini saya mahu memberi inspirasi kepada pengkarya muda terutama dalam kalangan wanita.

“Ramai ibu bapa menjadikan saya rujukan untuk menyokong anak mereka melukis tanpa mengabaikan pelajaran sekali gus bergelar seorang Dr.,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI