fbpx

Anak pengutip sampah raih dua anugerah cemerlang AIU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sonny Bill Williams menyampaikan Anugerah Sharifah Rokiah kepada Fazlina pada Majlis Konvokesyen ke-4 AIU di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Seorang gadis membuktikan bahawa kemiskinan keluarga tidak pernah menjadi halangan untuk bergelar penuntut cemerlang dalam pengajiannya di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini.

Malah bagi Fazlina Muhammad Amin Yeap, 25, ia menjadi inspirasi kepadanya untuk berusaha keras sehingga melayakkannya menerima Anugerah Sharifah Rokiah dan Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Keempat AIU hari ini.

Anak pengutip sampah dari Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, membesar dalam keluarga yang serba kekurangan membuatkan dia nekad berubah untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapanya.

“Saya tidak malu untuk mengaku anak pengutip sampah kerana itu yang memberi kekuatan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Sewaktu sekolah, rakan-rakan keluar bermain tetapi saya pula membantu ayah mengutip sampah. Ayah selalu pesan kita tidak boleh lupa siapa kita. Saya mahu membalas pengorbanan mereka dan bersyukur kerana AIU memberi peluang ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen tersebut.

Berkongsi mengenai rahsia, Fazlina berkata, untuk cemerlang dia bukan sahaja perlu menjadi yang terbaik dalam bidang akademik, tetapi kokurikulum.

“Saya terlibat dalam beberapa kertas penyelidikan dan Persidangan Pemasaran 2024. Saya juga terpilih sebagai penceramah untuk pembentangan pada Hari Bisnes Sosial di Filipina.

“Sebelum menuntut di AIU saya tidak fasih berbahasa Inggeris dan berusaha untuk memahirkan diri. Alhamdulillah, saya berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana selepas ini,” kata graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini.

Sementara itu penuntut dari Myanmar, Nyi Nyi Nay Naing, 23, mencatatkan rekod apabila bergelar penerima sulung Anugerah Canselor pada majlis konvokesyen tersebut.

Berasal dari sebuah kampung terpencil di Rakhine, Naing yang juga dikenali sebagai Ali memperoleh anugerah tersebut atas kecemerlangannya dalam akademik, kepimpinan dan khidmat masyarakat sepanjang pengajian dalam bidang Sains Komputer.

Menurut Ali, pengorbanannya berjauhan dengan keluarga sejak tujuh tahun lepas berbaloi apabila menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak kembali ke Yangon semata-mata kerana ingin menuntut ilmu. Kampung saya terperangkap di tengah pergolakan yang berlaku di Myanmar dan sukar untuk saya meneruskan pendidikan di situ. Alhamdulillah, saya menerima biasiswa dari Yayasan Albukhary,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI