PETALING JAYA – Ramai ibu meluahkan kesukaran mengajar anak mereka di tahun lima terutamanya bagi subjek matematik memandangkan topik-topik dalam subjek tersebut susah.
Menerusi luahan ibu-ibu tersebut, mereka sedaya upaya membantu dengan mengajar di rumah, namun berdepan masalah apabila anak mereka masuk ke darjah lima.
Luahan itu dikongsikan ibu-ibu tersebut selepas seorang pengguna TikTok memuat naik hantaran mendakwa lebih separuh kelas gagal matematik semasa Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
“Perhatian ibu anak darjah lima dan enam, saya dapat tahu lebih daripada separuh kelas gagal matematik UASA seluruh Malaysia. Cuba tanya anak ‘mommy’,” menurut hantaran itu.
Seorang wanita meninggalkan komen mengakui pening mengajar anaknya subjek matematik di rumah.
“Saya sebagai ibu pun pening nak ajar. Modul dia tu perghhh, soalan berbelit-belit,” luahnya.
“Darjah dua kami masih boleh ajar sis, darjah lima kami tak berapa nak reti ajar. Silibus sekarang tak sama macam dulu,” kata seorang ibu lagi.
“Mak-mak terpaksa belajar daripada YouTube untuk nak fahamkan matematik anak-anak. Tu pun kadang-kadang anak cakap tak sama macam cikgu dia ajar,” ujar ibu lain.
“Saya lah ‘bergaduh’ dengan anak sebab saya ajar lain. Sekali tengok buku teks memang lain. Sejak dari tu, saya tak ajar, cakap dengan dia orang belajar sendiri. Sekarang ada macam-macam aplikasi dengan YouTube, rujuk di situ,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE