fbpx

Hubungan baik dengan Barat, Timur kekal – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada persidangan Kumpulan Visi Strategik Rusia – Dunia Islam di Kuala Lumpur, hari ini. Foto AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia akan kekal membina hubungan baik dan bebas dengan semua negara sama ada Barat ataupun Timur.

Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerjasama dengan dunia Islam termasuk dengan Russia bukan semata-mata bersifat politik.

Malah katanya, ia turut berpaksikan ekonomi dan budaya seperti yang ditunjukkan melalui inisiatif BRICS.

“Russia menunjukkan kemajuan besar dalam sektor pertanian, menjadi pengeksport utama gandum, membantu menangani cabaran keselamatan makanan global.

“Malaysia juga aktif dalam membangun ekosistem institusi kewangan syariah, termasuk bank dan takaful. Kami percaya pengalaman dan teknologi Russia boleh melengkapi usaha ini, termasuk dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kumpulan Visi Strategik Rusia – Dunia Islam di sini, hari ini.

Terdahulu, Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS iaitu sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Selain Malaysia, 12 negara lain dalam BRICS termasuklah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Untuk rekod, BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun, merangkumi Brazil, Russia, India dan China sebelum disertai Afrika Selatan pada 2010. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI