SUNGAI PETANI – Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah heroin dan kafein seberat 20.84 kilogram (kg) bernilai RM82,750 dalam serbuan di dua buah rumah teres di Bandar Puteri Jaya, di sini pada Sabtu lalu.
Suspek berusia 33 dan 48 tahun itu diberkas kira-kira pukul 7.07 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Yamaha serta tiga barang kemas bernilai RM52,803.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika serbuan dibuat, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan tukang gunting itu berada di dalam rumah sewa masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya berjaya merampas sebanyak 11.99 kg heroin bernilai RM80,550 dan 8.85 kg kafein bernilai RM2,200.
Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek menyewa rumah di situ sejak empat tahun lalu dan dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini.
“Berdasarkan siasatan juga, dua suspek itu turut menggunakan rumah sewa mereka sebagai stor dan tempat memproses heroin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE. – KOSMO! ONLINE