PORT DICKSON – Seramai 48 individu termasuk 13 individu bukan warganegara ditangkap
dalam Ops Belatuk dan Ops Nuri selama 20 hari bermula bulan lalu di daerah ini membabitkan sindiket penipuan online yang menyasarkan mangsa dari luar negara.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, operasi bermula 14 November hingga 13 Disember itu membabitkan serbuan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di empat lokasi rumah sewa berbeza.
Menurutnya, dalam tangkapan berkenaan, pihak polis telah merampas 271 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 44 komputer riba pelbagai jenama, lapan buah kereta pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM 10,150 dengan anggaran jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM 820,150.
“Dalam tangkapan ini, kesemua tangkapan berusia 19 tahun hingga 40 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Port Dickson serta dikenakan hukuman denda antara RM5,000 hingga ke RM7,000.
“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari luar negara membabitkan pelaburan dan tawaran tipu pekerjaan tidak wujud secara atas talian. Dijangka, sindiket ini sudah beroperasi di sini sejak dua bulan lalu,” katanya.- KOSMO! ONLINE