fbpx

Muhammad Sanusi lega, bebas tuduhan hasut kait Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi satu pertuduhan menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut yang menyentuh Sultan Pahang yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan kes terhadap tertuduh bagi kes tersebut.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh (Muhammad Sanusi) dilepas dan dibebaskan daripada satu pertuduhan, manakala satu lagi kes ditetapkan untuk perbicaraan,” katanya.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud berkata, ketika prosiding lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan representasi bagi dua kes yang dihadapi tertuduh.

Menurut beliau, terdapat perkembangan baharu berhubung representasi yang dikemukakan tertuduh.

“Pihak kami tidak bercadang untuk meneruskan pendakwaan bagi kes pertama dan ingin menarik balik serta tidak mahu meneruskan kes.

“Mohon tertuduh diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes pertama sementara pertuduhan kedua, dikekalkan,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili tertuduh membantah permohonan DNAA yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk memberi perintah DNA (lepas dan bebas) sepenuhnya terhadap mana-mana tertuduh.

“Sesuatu perkara tidak boleh tergantung tanpa satu penyelesaian yang muktamad. Memandangkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes, maka saya mohon anak guam diberi dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Bagi satu lagi pertuduhan menghasut mahkamah menetapkan perbicaraan kes selama lima hari bermula 24 hingga 28 Februari 2025.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong di Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI