KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember tahun lalu.
Anwar berkata, ia berikutan Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Penglibatan saya hanya pada mesyuarat yang awal. Itu saya hadir dan saya boleh ulas kerana itu belum bangkit soal adendum.
“Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku, atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan titah adendum yang didakwa dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau hanya menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampuan pada 8 Disember tahun laku dan seterusnya dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
“Pada 29 Januari berikutnya, itu memang dihadiri oleh menteri yang bertanggungjawab iaitu Wilayah Persekutuan dan saya tidak lagi hadir.
“Setakat itu saya boleh (jelaskan), selain itu tunggu 6 Januari keputusan Mahkamah Rayuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE