TANGKAK – Seorang warga emas berputih mata apabila kerugian RM66,199 selepas terperdaya satu pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Menurut Ketua Polis Dearah Tangkak, Superifntendan Roslan Mohd Talib, mangsa yang berusia 71 tahun membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tersebut.
“Mangsa mendakwa terlibat dalam pelaburan saham Cap Max sehingga kerugian RM66,199 selepas melakukan lima transaksi ke dalam dua akaun bank.
“Dalam kes ini mangsa melihat tawaran pelaburan saham melalui aplikasi telefon pintar dan tertarik untuk melabur selepas dijanjikan pulangan lumayan dan jaminan modal,” katanya dalam kenyataan.
Roslan memberitahu, mangsa percaya bahawa pelaburan itu benar-benar wujud kerana bayaran modal yang dibuat terdapat dalam aplikasi, namun usaha untuk mengeluarkan keuntungan tidak berhasil malah dia juga gagal mengakses aplikasi tersebut. -KOSMO! ONLINE