GUA MUSANG – Hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan seramai 1,650 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini terputus hubungan apabila air Sungai Chalil melimpah menutupi jambatan utama di kampung itu.
Ketua Peneroka RKT Kesedar Chalil, Suhaimi Che Hamid berkata, paras Sungai Chalil meningkat dan melimpahi jambatan sejak pukul 4 pagi tadi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk terkandas apabila tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang.
“Hujan berterusan sejak petang semalam dan air telah melimpahi jambatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Chalil pagi tadi,” katanya.
Seorang penduduk, Husin Muhamad, 45, berkata, kejadian itu mengakibatkan urusan harian tergendala termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Katanya, mereka terputus hubungan ekoran jambatan penghubung sepanjang kira-kira 60 meter tenggelam akibat hujan berterusan sejak petang semalam.
“Sehingga pukul 8 pagi tadi, laluan masih digenangi air dan pergerakan penduduk di sini terkandas. Ibu bapa tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah rendah dan menengah yang terletak di seberang jambatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE