ATLET taekwondo poomsae negara, Yeap Swee Bee melakar sejarah sebagai wanita veteran pertama Malaysia merangkul pingat di Kejohanan Dunia Poomsae 2024 berlangsung di Hong Kong dalam kategori individu bawah 65 tahun baru-baru ini.
Swee Bee yang memenangi pingat perak, menewaskan beberapa peserta hebat dari seluruh dunia sementara emas dirangkul atlet Austria, manakala wakil Kanada berpuas hati dengan gangsa.
Bagi atlet berusia 64 tahun itu, kejayaan tersebut adalah hasil dedikasi dan disiplin tinggi dalam menjalani latihan termasuk sesi latihan intensif yang konsisten serta komitmen untuk memperbaiki teknik serta prestasi meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
“Saya melakukan latihan sendiri pada waktu pagi dan petang. Fokus saya adalah mendapatkan pingat, jadi saya bekerja keras untuk mencapainya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebagai persediaan ke Kejohanan Dunia, Swee Bee yang merupakan jurulatih Kelab Taekwondo Power Sport di Klang, Selangor turut menyertai sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) yang dianjurkan oleh Taekwondo Malaysia (TM).
“Saya hanya sempat hadir dua daripada empat sesi kerana komitmen lain tetapi jurulatih, Master Yap Yih Tiing dan jurulatih dari Korea, Jin Jun Boem sangat membantu persediaan saya ke Hong Kong,” ujarnya.
Kejayaan itu menjadi titik bersejarah kerana Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam kategori tersebut sebelum ini.
Dalam masa sama, Swee Bee menyifatkan pencapaiannya sebagai satu penghormatan besar dan motivasi untuk terus menyumbang kepada sukan taekwondo yang telah menjadi minatnya sejak sekian lama.
“Walaupun umur saya sudah 64 tahun, saya masih berminat untuk bersaing. Namun, semuanya bergantung kepada prestasi di kejohanan kebangsaan kerana hanya juara layak ke kejohanan antarabangsa,” tambahnya.
Swee Bee sebelum ini kerap menjuarai Kejohanan Kebangsaan dan pengalaman tersebut membuktikan usia bukanlah penghalang untuk terus berjaya di peringkat dunia sekali gus menjadi penanda aras baharu untuk Malaysia di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE