GEORGE TOWN – Lebih 300 pelabur termasuk di Singapura dan Indonesia berdepan kerugian mencecah sehingga RM104.75 juta selepas didakwa ditipu sindiket skim pelaburan mata wang forex rentas sempadan yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket tersebut aktif sekitar 2016 hingga 2023 dengan menggunakan syarikat berdaftar di Indonesia dan Labuan, Malaysia untuk mendapatkan lesen bagi mengutip dana daripada pelabur awam.
Katanya, sindiket itu menawarkan pulangan keuntungan sebanyak satu hingga hingga dua peratus sebulan dan pembayaran keuntungan kepada pelabur telah terhenti sejak 2023.
”Pelaburan forex seperti ini menyalahi undang-undang di Malaysia kerana pelaburan forex awam hanya dibenarkan melalui institusi perbankan berlesen.
“Sebanyak 388 aduan diterima daripada pengadu-pengadu di Malaysia juga daripada Indonesia dan Singapura melibatkan kerugian sehingga RM104.75 juta.
“Kami juga yakin terdapat lebih ramai lagi pelabur yang menjadi mangsa sindiket namun mereka tidak berani tampil membuat laporan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) cawangan Pulau Pinang, di sini hari ini.