PETALING JAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan laporan mendakwa kes berkaitan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) telah ditutup adalah tidak benar.
Katanya, pegawai SPRM yang menyatakan kes tersebut ditutup mungkin hanya menumpukan kepada satu aspek namun siasatan SPRM merangkumi pelbagai sudut yang lebih luas.
“Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh pegawai tersebut mengenai isu penutupan kes, tetapi secara umum kami telah membuka beberapa fail lagi untuk diperiksa.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) tahun 2024 di Auditorium Angkasa, Petaling Jaya, hari ini.
Azam berkata, siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan melibatkan pelbagai aspek, termasuk perolehan dan pelaburan.
“Kesemua siasatan ini masih dijalankan dan keputusan akhirnya akan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan SPRM mendapati tiada sebarang kesalahan berhubung kes berkait HRD Corp dan tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 yang telah dilakukan.
Julai lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
Sehubungan itu, SPRM menubuhkan satu pasukan khas berhubung isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).-KOSMO! ONLINE.