fbpx

Dewan Negara: BNM tak simpan rekod pelanggan PEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyimpan rekod ahli politik dan aktivis atau mana-mana pelanggan yang telah disenaraikan sebagai politically exposed person (PEP) atau orang yang terdedah secara politik.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, perkara itu kerana maklumat tersebut disimpan dalam rekod institusi masing-masing.

“Seseorang individu boleh dikategorikan sebagai PEP sekiranya individu tersebut sedang atau telah
memegang fungsi awam utama dalam badan Kerajaan dan yang berkaitan contohnya, menteri, wakil rakyat, ahli politik, ketua agensi, ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), atau pemegang jawatan utama organisasi antarabangsa sama ada di Malaysia atau negara asing.

“Turut boleh dianggap sebagai PEP adalah ahli keluarga dan sekutu rapat individu- individu berkenaan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin tahu apakah ciri-ciri seseorang individu boleh dikategorikan sebagai PEP serta adakah terdapat proses semakan latar belakang khusus yang dilakukan untuk setiap individu dan sehingga kini, berapakah jumlah ahli politik dan aktivis yang telah disenaraikan sebagai PEP.

Mengulas lanjut Hui Ying berkata, kriteria itu adalah berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Financial Action Task Force (FATF), sesuatu organisasi global yang menentukan piawaian antarabangsa dan perlu dipatuhi oleh semua institusi yang tertakluk kepada piawaian FATF, sama ada di dalam atau di luar negara.

“Ini termaktub dalam Dokumen Dasar BNM dan perlu dipatuhi oleh semua institusi pelapor, termasuk semua bank.

“Institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) mula melaksanakan tapisan wajar pelanggan berstatus PEP secara berperingkat bermula tahun 2006,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan keputusan untuk meluluskan permohonan kredit oleh peminjam
merupakan keputusan komersial yang diambil oleh institusi kewangan.

“Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS) ialah salah satu sumber maklumat yang digunakan oleh institusi kewangan untuk membantu penilaian kepercayaan kredit (atau creditworthiness) peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka.

“Institusi kewangan turut mengumpul maklumat lain tentang peminjam daripada sumber selain CCRIS,
seperti agensi pelaporan kredit swasta untuk menilai risiko kredit peminjam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI