PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah menafikan telahan sebilangan pihak mengatakan kononnya suaminya, Ubai seorang kaki pukul dan panas baran.
Tampil menjernihkan keadaan, Shila, 34, menegaskan perkongsiannya tentang lelaki kaki pukul adalah mengenai kisah tragis rumah tangga bekas model, Zahnita Wilson yang mengejutkan ramai pihak baru-baru ini.
“Kaki pukul itu bukan mengenai Ubai ya. Apa punya benaklah tulis fitnah macam itu.
“Saya simpati dgn nasib yang menimpa Zahnita. Siapa yang pernah melaluinya sahaja tahu peritnya,” katanya dalam Instagram.
Dalam masa sama, pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu menafikan dirinya berkahwin dengan lelaki bersifat sebegitu selain meminta wanita yang tersepit dalam rumah tangga toksik segera keluar mendapatkan bantuan.
“Tidak, saya tidak berkahwin dengan orang begitu.
“Marilah kita doakan sesiapa yang belum dapat keluar dari masalah keganasan rumah tangga atau hubungan diberi kekuatan mental dan fizikal untuk segera lari daripada pemangsa mereka.
“Kepada rakan dan keluarga, kalau tiba-tiba kawan atau anak anda hilang serta gagal dihubungi, itu adalah salah satu tandanya. Tolong jangan biarkan mereka keseorangan,” tuturnya.
Baru-baru ini, Shila sekali lagi menegaskan individu yang mempunyai sikap panas baran dan kaki pukul tidak akan pernah berubah.
Ujarnya, golongan wanita seharusnya tidak dibutakan dengan wajah tampan seseorang dan memaafkan tanpa memikirkan akibat yang bakal mendatang. – KOSMO! ONLINE