KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan penstrukturan semula bagi perniagaan di bazar Ramadan sekali gus memastikan pengoperasiannya lebih tersusun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam masa sama langkah itu bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan beberapa isu berkaitan.
“DBKL sedang susun kembali sebab ada beberapa isu baru-baru ini. Insya-Allah kita sedang lihat dan strukturkan kembali perniagaan di bulan Ramadan atau bazar Ramadan.
“Insya-Allah kita cuba laksanakan dengan terbaik bagi memastikan pada bulan Ramadan, perniagaan dapat diteruskan tapi jauh lebih tersusun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung pemegang lesen KL Madani dalam operasi bazar Ramadan.
Dr. Zaliha berkata, pihaknya juga sedang mengkaji jumlah lesen yang akan dikeluarkan untuk bazar Ramadan selain bayaran lesen yang akan dikenakan kepada peniaga. – KSOMO! ONLINE