Oleh Rizanizam Abdul Hamid
ALOR GAJAH – “Arwah seorang murid yang baik, disenangi guru dan rakan menyebabkan kehilangannya amat dirasai,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, Azmirah Abd Aziz, 45.
Guru mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) itu merujuk keperibadian Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, murid Tahun 3 sekolah berkenaan yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terperosok ke bawah lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Panchor M17 Kampung Panchor, Durian Tunggal di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, Nur Aqilah yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal ditunggang bapanya, Amirul Hussaini Muhammad, 33, maut serta-merta di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut Azmirah berkata, walaupun bukan guru kelasnya, dia mengenali sifat arwah kerana telah mengajarnya sejak tahun lalu bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Walaupun agak pendiam, arwah akan bertanya pada guru jika tidak memahami sesuatu subjek dan mempunyai ramai kawan.
“Saya pasti sangat merasai kehilangannya kerana dia duduk betul-betul di hadapan meja guru di dalam kelas,” katanya sebak ketika ditemui KOSMO! di sini hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Melana, Ir Fairullizam Isahak berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan derma kilat untuk mengurangkan beban ditanggung keluarga arwah.
“Kami harap sumbangan ini dapatlah membantu mengurangkan perbelanjaan bapa arwah yang cedera dan mungkin tidak dapat bekerja sehingga dia benar-benar pulih,” katanya.
Dalam kejadian semalam, nahas dilaporkan berlaku apabila pemandu sebuah Proton Wira dalam perjalanan dari Pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
Kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun itu kemudian merempuh Toyota Alphard yang dipandu guru lelaki berusia 47 tahun dan sebuah lori yang berada di laluan sama.
Lori itu kemudian terbabas sebelum menghimpit motosikal Honda EX5 ditunggang Amirul Hussaini bersama anaknya yang berada di sebelah kenderaan berat itu.-K! ONLINE.