MESKIPUN bermula langkah kanan pada Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman selepas menewaskan Thailand 3-0 kelmarin, namun ia belum memuaskan hati ketua jurulatih skuad hoki remaja wanita negara, Lailin Abu Hassan.
Beliau menyifatkan, anak-anak buahnya gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang, termasuk pukulan sudut penalti (PC) dalam usaha memastikan mereka memulakan kempen dengan jaringan lebih besar.
Justeru, Lailin mahu menggunakan waktu rehat sehari bagi memperkemaskan permainan Young Tigress memandangkan mereka akan berdepan cabaran lebih sukar menentang gergasi Asia, India pada aksi kedua hari ini.
“Secara keseluruhan, saya agak tidak berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain pada hari ini (kelmarin) walaupun kita berjaya mencatat kemenangan. Kita tidak dapat lakukan jaringan walaupun mendapat banyak PC.
“Kita juga gagal melakukan hantaran yang baik, jadi saya harap pemain-pemain akan lebih fokus pada perlawanan seterusnya. Esok (semalam) rehat sehari, jadi kita rancang untuk mengadakan latihan,” katanya.
Pada aksi menentang Thailand, Malaysia menguasai sepenuhnya perlawanan dan berjaya melakukan tiga jaringan PC menerusi Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha, Nur Syahirah Azwan dan Nor Zulaikha Nazihah Tamjit.
Mengulas pertemuan menentang India hari ini, Lailin menggesa barisan pemainnya supaya bersiap sedia dan mengikut perancangan ditetapkan bagi menyekat kemaraan pasukan lawan.
“Kita tahu India adalah pasukan yang kuat dalam kejohanan ini, jadi kita harus bersedia dan buat perancangan terperinci. Kita perlu sekat segala serangan dan pastikan pasukan bermain mengikut percaturan,” ujarnya.