MANCHESTER – Tempoh ‘bulan madu’ Ruben Amorim bersama Manchester United berakhir selepas mereka tewas kali kedua berturut-turut apabila dimalukan Nottingham Forest 2-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi semalam.
Lebih memalukan apabila ia adalah kekalahan pertama United kepada Forest di Old Trafford selepas kali terakhir bekas juara Eropah dua kali itu menang di laman keramat tersebut pada 1994.
Kekalahan itu menyaksikan The Red Devils di tangga ke-13 menerusi 19 mata, ketinggalan jauh 16 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan selepas aksi menentang Everton kelmarin ditangguhkan ekoran cuaca buruk.
Amorim yang dilantik menggantikan Erik ten Hag awal bulan lepas, terpaksa menerima hakikat kegagalan anak-anak buahnya untuk bangkit memadam kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Arsenal di Emirates pada Khamis lalu.
“Perlawanan yang begitu sukar tetapi kami perlu teruskan tugas ini. Perjalanan masih lagi panjang dan kami perlu tingkatkan beberapa aspek permainan.
“Kami perlu mula memenangi perlawanan yang secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pasukan ini.
“Sekarang kami dalam fasa membina sesuatu yang hebat dan setiap perkara perlu diberi perhatian. Dari awal lagi saya sedar ini adalah tugas berat dan kami perlu teruskan apa yang telah dirancang,” kata Amorim.
Benteng pertahanan United terutama dari sudut set-piece sepakan penjuru dilihat terlalu mudah dikalahkan seperti dua gol yang berjaya dijaringkan oleh Arsenal minggu lepas.
Ia terbukti apabila Forest hanya mengambil masa dua minit untuk menghukum ‘ego’ United menerusi tandukan Nikola Milenkovic sebelum kesilapan penjaga gol United, Andre Onana menghadiahkan gol kedua Forest hasil rembatan Morgan Gibbs White.
Gol ketiga Forest hasil tandukan Chris Wood yang langsung tidak dikawal memastikan kemenangan 3-2 ke atas United yang meraih dua jaringan menerusi Rasmus Hojlund dan Bruno Fernandes. – AGENSI