PELAKON terkenal, Farid Kamil akhirnya bersuara dengan mengesahkan minatnya untuk membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi melihat pasukan itu kembali disegani dalam kancah bola sepak Malaysia.
Bagaimanapun, Farid menjelaskan dia enggan bersikap gelojoh kerana menganggap situasi itu seakan sesi perkenalan awal sebelum menzahirkan sebarang akad atau perjanjian dengan pasukan.
“Betul, fasa perkenalan di mana saya mula pakai jersi Kedah dan kembali ke stadium setelah enam tahun. Saya tidak boleh berkata banyak tentang itu (mengenai pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau pemegang saham terbesar KDA FC).
“Saya bercita-cita untuk jadi ‘kitman’ dulu sebelum saya memahami organisasi atasan. Buat masa sekarang itulah yang dilakukan (guna jenama Farid Kamil untuk tarik penaja) sebab saya bukannya orang senang tetapi saya tidak boleh tengok orang susah.
“Apabila pasukan dalam kesusahan secara tidak langsung saya terasa. Nak latih, nak beritahu cara bermain bukan kepakaran saya. Macam saya katakan, saya akan cuba lakukan apa saja untuk bantu pasukan kekalkan prestasi juara,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar menunjukkan Farid bersama pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sekali gus menimbulkan pelbagai andaian dan kemungkinan pelakon itu akan tampil menyelamatkan pasukan yang kini dihimpit pelbagai isu khususnya tunggakan gaji.
“Saya pun tidak kenal secara keseluruhan pemain yang ada sekarang. InsyaAllah (babitkan diri dalam pasukan paling awal musim depan). Kita sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya Kedah dapat berikan saingan,” katanya.