KUALA KRAI – Sebanyak 60 pusat pemindahan sementara (PPS) ditambah di daerah ini sebagai persediaan awal untuk menempatkan penduduk di kawasan yang terlibat sekiranya terjejas gelombang seterusnya banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan PPS di Kuala Krai sebanyak 105 buah membabitkan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Mengkebang, Manek Urai dan Dabong.
“Jumlah PPS di DUN Guchil sebanyak 27 buah, DUN Mengkebang (25), DUN Manek Urai (22), DUN Dabong (31).
“Semasa banjir baru-baru ini, sebanyak 45 PPS telah dibuka di Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil berkata, semua kerja pengarahan dan penyelarasan banjir dibuat oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dibuka di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai yang dipengerusikan oleh Ketua Jajahan
“Bagi tindakan di lokasi kejadian, pengarahan dibuat melalui Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Arahan itu diketuai oleh seorang Komander iaitu Ketua Polis Daerah dan semua pasukan beruniform berada di bawahnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE