fbpx

4 suspek jadi kumpulan pertama dicekup rentas Sungai Golok ikut pangkalan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (duduk, dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Mohd. Yusoff pada Taklimat Banjir PKTK Bagi Daerah Pasir Mas di Balai Polis Repek, Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

PASIR MAS – Seramai empat individu termasuk dua warga Thailand menjadi kumpulan pertama dicekup sejak operasi besar-besaran pihak polis untuk menangkap orang awam yang melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dekat ini bermula 1 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keempat-empat suspek itu dicekup di pangkalan haram berasingan di sini semasa anggota polis menjalankan operasi semalam.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan berusia 50 dan 33 tahun ditahan semasa mereka masuk ke negara ini melalui pangkalan haram dari Thailand.

“Dalam tangkapan berasingan, dua warga Thailand termasuk seorang wanita berusia 40 dan 43 tahun dicekup di kawasan pangkalan haram di Rantau Panjang.

“Kita masih masih menyiasat punca keempat-empat suspek itu masuk ke negara ini melalui pangkalan haram,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Banjir Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Bagi Daerah Pasir Mas di Balai Polis Repek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan memberitahu, keempat-empat suspek itu merupakan kumpulan terawal yang ditahan oleh pihak polis sejak penguatkuasaan ketat di Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.

“Bagi dua warga Thailand yang ditahan itu pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

“Difahamkan, ramai yang tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan ini. Sebaliknya, perkara ini sudah lama berlaku, namun tiada tindakan diambil.

“Jadi, kita mahu ambil tindakan sekarang agar semua pihak mengikut undang-undang (untuk merentas negara),” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.

Menurutnya, justeru, rakyat Malaysia akan ditangkap semasa mereka menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI