SABAK BERNAM – Kerajaan sedang mengatur gerak pembinaan sebanyak 32 jambatan Bailey di semua kawasan yang terjejas akibat banjir.
Infrastruktur itu melibatkan jambatan runtuh dan jalan rosak yang menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan setakat ini mengenal pasti tujuh lokasi terlibat yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, ujian tanah sedang dilaksanakan di kawasan tertentu sebelum membina jambatan tersebut.
“Beberapa tindakan kejuruteraan dilakukan di kawasan terjejas yang dikenal pasti mempunyai struktur tanah lembut dan mudah rosak.
“Kos keseluruhan bergantung kepada siapnya kerja pembinaan jambatan itu namun saya meminta ia disiapkan dalam tempoh 72 jam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, kebanyakkan jambatan Bailey itu dibina di Kelantan dan Terengganu dengan dua telah disiap sepenuhnya iaitu di Rantau Panjang dan Pasir Mas.- KOSMO! ONLINE