BANDAR SERI BEGAWAN – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 42 tahun didenda sebanyak 7,000 dolar Brunei (RM23,036) kerana cuba menyeludup minuman beralkohol ke Brunei, lapor portal berita Social News XYZ semalam.
Seorang pegawai kastam Brunei berkata, pihaknya menahan sebuah kenderaan untuk pemeriksaan pada Rabu lalu.
“Semasa melakukan pemeriksaan, kami menemukan kira-kira 192 tin minuman beralkohol yang dibawa masuk tanpa kebenaran,” tambahnya.
Mahkamah Majistret Brunei memerintahkan supaya semua minuman yang disita itu diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.
Tertuduh bakal berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Brunei yang merupakan sebuah negara kesultanan di Asia Tenggara, melaksanakan undang-undang ketat melibatkan rokok dan minuman beralkohol. – AGENSI