RANTAU PANJANG – Seramai empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand termasuk seorang wanita dan kanak-kanak dicekup selepas mereka merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram Abe Yie di sini kelmarin.
Keempat-empat individu itu ditahan kira-kira pukul 9.45 malam semasa Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu pasukan unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman menjalankan pemantauan dron di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa pemantauan dron dijalankan, pihaknya mengesan lima individu termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram tersebut.
Menurutnya, kelima-lima suspek cuba melarikan diri, namun akhirnya mereka dapat ditangkap.
“Pemeriksaan mendapati, seorang suspek berasal dari Rantau Panjang manakala empat lagi merupakan warga Thailand.
“Keempat-empat suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan PATI daripada terus berleluasa di sempadan negara.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui pangkalan haram. – KOSMO! ONLINE